Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan
oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti
umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk
mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah
Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan
perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul
bagaimana setiap solat mula dikerjakan.
Subuh:
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi
Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi.
Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang
amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang
dua rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas
dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah
menjelma.
Zohor:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi
Ibrahim a.s.
iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar
menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir
matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan
dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan
Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya
digantikan dengan tebusan kibas.
Asar:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi
Yunus a.s.
tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut
ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika
itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang
empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4
kegelapan iaitu:
Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.
Maghrib:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi
Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan
kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi
Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut
iaitu:
Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada
Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan
ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu
hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.
Isyak:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi
Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari
negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT
menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu
sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi
Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun
No comments:
Post a Comment